Ada apa dengan Jambatan Saloma? Apa yang menarik tentang Pintasan Saloma. Boleh ceritakan tentang keunikan binaan ini?
Jambatan berbentuk seakan sirih junjung ini merupakan mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelancong.
Jambatan Saloma atau Saloma Link yang berinspirasi nama seniwati malaysia yang tersohor ini bukan sahaja menarik pelancong malah ia menjadi akses yang memudahkan orang ramai untuk berjalan kaki dari KLCC ke Kampung Baru.
Dua tempat yang juga tidak asing dalam kalangan pelancong.

- Lihat Penginapan Terbaik di Sekitar Saloma Bridge
- Lihat Aktiviti Menarik di Sekitar Saloma Bridge
- Lihat Peta Percutian di Sekitar Saloma Bridge
Bagaimana untuk ke Jambatan Saloma?

Jika anda dari KLCC anda boleh ke Jalan Saloma yang terletak bersebelahan dengan Menara Public Bank.
Manakala jika anda dari Kampung Baru anda boleh menuju ke Lorong Raja Muda Musa 3 iaitu 100 meter dari LRT Kampung Baru.
Kalau tak jumpa juga bolehlah tanya orang ramai di situ ye.
Apa yang menarik di Jambatan Saloma?

Rasanya apa yang membuatkan jambatan ini menjadi begitu menarik buat pelancong ye?
Untuk pengetahuan anda, Jambatan Saloma ini dibina seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia!
Namun begitu, Jambatan Saloma mengenengahkan konsep melayu dengan rekabentuk sirih junjung bagi mengekalkan identiti masyarakat melayu.

Jambatan sepanjang 370 meter ini turut memendekkan perjalanan anda dari KLCC ke Kampung Baru iaitu 15 minit sahaja!
Malah keselamatan anda turut terjaga kerana ia dilengkapi dengan sistem CCTV dan mempunyai pengawal keselamatan yang betugas.
Bagi yang berbasikal, anda juga dibenarkan berbasikal di kawasan ini.

Waktu siang dan malam di sini memberikan suasana yang cukup berbeza buat anda.
Pada waktu malam iaitu seawal jam 7 malam, jambatan ini akan dilimpahi dengan cahaya LED yang bermacam warna.
Contohnya memaparkan warna dan corak bendera Malaysia! Jadi tidak hairanlah jika orang sentiasa ramai di jambatan ini untuk merakamkan pelbagai aksi yang menarik.
Tarikan di sekitar Jambatan Saloma

Kampung Baru adalah syurga makanan bagi warga kota Kuala Lumpur, rata-rata berpuas hati dan akan kembali ke sini untuk menikmati pelbagai hidangan yang menarik.
Jadi tidak hairanlah jika ia sering dipenuhi dengan orang ramai tidak kira waktu. Antara kedai makan yang terkenal adalah:

- Nasi Lemak Wanjo yang menyajikan nasi lemak kukus sejak tahun 1963 dan masih menggunakan resepi turun-temurunnya sehingga ke hari ini. Ia dibuka pada jam 6.30 pagi hingga 1 pagi.
- Suraya Seafood menyediakan aneka makanan laut dan masakan thai seperti siakap stim, udang goreng tepung dan kerang bakar yang pasti menggiurkan! Restoran ini beroperasi pada jam 5 petang hingga 2 pagi.
- Selera Ramai Ikan Singgang merupakan pilihan terbaik untuk anda menikmati hidangan tempatan khususnya masakan orang Kelantan. Ia dibuka bermula jam 5 petang hingga 2 pagi.
- Cendol Durian Kampung Baru yang beroperasi seawal jam 11 pagi hingga 12 pagi ini menyajikan aneka cendol durian dengan pilihan jenis durian seperti D24, Musang King dan Udang Merah.
- Restoran Nasi Padang Kg Baru semestinya menyajikan hidangan Minang seperti set nasi padang, gulai tunjang, daging dendeng dan banyak lagi. Hidangan di sini boleh dinikmati pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

Antara kedai makan yang turut popular di sekitar Kampung Baru adalah Gerai Pak Hassan Kampung Baru, Restoran Gerak 23, Ayam Bakar Wong Solo, Warong Che Senah, Rosdet Tomyam, Satay Capitol 1951, Nasi Lemak Antarabangsa dan banyak lagi yang bakal membuat anda kecur air liur!

Selain terkenal sebagai syurga makanan, Kampung Baru turut mempunyai tarikan yang tersendiri seperti Pintu Gebang Kampung Baru yang begitu cantik untuk anda bergambar.
Selain itu ia mempunyai sebuah rumah kampung yang begitu terkenal dan sering muncul dalam penggambaran filem Malaysia iaitu Rumah Biru Kg Baru.
Masjid Jamek Kampung Baru yang boleh memuatkan sekitar 7000 jemaah ini turut menarik untuk anda ziarahi.

Dah menjelajah Kampung Baru, bolehlah ke KLCC pula ye! Bermacam aktiviti yang anda boleh lakukan di sini selain membeli-belah di beberapa gedung terkemuka.
Anda boleh masuk ke Aquaria KLCC untuk melihat pelbagai spesies hidupan laut yang menarik, meneroka dunia sains di Petrosains, menghayati suasana ibu kota Kuala Lumpur melalui Jambatan KLCC, berseronok di Superpark, mencabar diri di Breakout atau menyaksikan pertunjukkan Lake Symphony di Taman KLCC pada jam 8 malam hingga 10 malam.

Anda berhasrat ingin meronda-ronda di Kuala Lumpur?
Di KLCC menyediakan perkhidmatan Bas GoKL secara percuma buat anda.
Anda boleh menaiki bas ini di tempat menunggu bas KLCC dan akan dibawa melalui beberapa laluan yang berbeza seperti Bukit Bintang, KL Tower, Chinatown, Pasar Seni (Central Market), Chow Kit, Muzium Negara, Dataran Merdeka, KL Sogo dan lain-lain tarikan utama di sekitar bandar Kuala Lumpur.

Setibanya di setiap lokasi anda boleh turun dan menukar bas untuk ke laluan lain pula.
Menarik kan? Perkhidmatan bas ini beroperasi dari jam 6 pagi hingga 11 malam pada hari isnin hingga khamis, pada hari jumaat dan sabtu pada jam 6 pagi hingga 1 pagi dan pada hari ahad pada jam 7 pagi hingga 11 malam.
Bersambung…