Bercadang bercuti ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia? Jangan lupa untuk singgah sebentar di Bukit Gambang Water Park menyejukkan diri anda.
Bukit Gambang Waterpark merupakan taman tema air yang paling terkenal di Pantai Timur. Taman tema air yang terletak di negeri Pahang ini beroperasi seawal jam 11 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Lokasi yang berjarak sekitar satu jam perjalanan dari pusat bandar Kuantan ini menjanjikan keseronokkan buat anda sekeluarga! Tambahan lagi ia baru sahaja mengalami proses penambahbaikkan.
Taman tema yang beroperasi di dalam kawasan hijau ini menjadikan anda berasa lebih nyaman sepanjang berada di sini.
Menariknya lagi kerana bayaran masuk ke taman tema ini begitu berpatutan untuk semua peringkat umur.
Dengan adanya fasiliti yang selesa seperti tandas, tempat persalinan pakaian, bilik locker, surau, kedai cenderahati dan kiosk makanan anda tidak perlu bimbang untuk menghabiskan hari anda di sini.
Mari kita lihat tarikan-tarikan menarik yang ada di Bukit Gambang Waterpark.
Family Raft Ride

Tarikan yang pertama adalah Family Raft Ride yang merupakan gelongsor dan memerlukan anda untuk menggunakan pelampung untuk menuruninya.
Pelampung tersebut boleh memuatkan empat ke enam orang sekaligus. Dikatakan gelongsor tersebut merupakan antara yang terpanjang di Malaysia.

Walaupun dinamakan Family Raft Ride, anda boleh mengajak rakan-rakan untuk menaiki pelampung tersebut.
Jangan panik jika anda turut merasa seolah-olah pelampung anda terpusing dan ingin terbalik sepanjang menggelongsor di sini!
6 Lane Racer

6 Lane Racer ini pula sesuai jika anda ingin mengadakan perlumbaan bersama rakan-rakan atau ahli keluarga! Di sini anda boleh menikmati gelongsor dengan posisi meniarap di atas papan luncur dan menyaksikan siapa yang paling laju tiba ke pengakhirannya.
Gelongsor lurus yang mempunyai permukaan beralun ini pasti bakal memberi debaran buat anda! Bagi yang sukakan cabaran pasti menyukai tarikan ini dan akan berulang kali beraksi di gelongsor air ini.
Aqua Play Zone

Untuk bahagian ini pula lebih memfokuskan untuk keseronokkan bagi kanak-kanak yang sentiasa teruja apabila bermain air!
Ia seperti sebuah taman permainan yang mempunyai gelongsor air, air pancut dan kolam mandi yang dihiasi dengan karakter kartun.

Anak-anak pasti lebih teruja apabila menikmati simbahan air daripada baldi Aqua Splash di sini. Menariknya lagi baldi tersebut direka seperti bentuk ikan dengan mulut yang ternganga.
Coco Beach

Coco Beach yang berkonsepkan seperti di tepi pantai ini bakal memberikan mod yang lebih santai buat anda semua. Kolam renang yang besar ini mempunyai 8 jenis tahap pukulan ombak yang cukup mendebarkan!
Anda boleh bersantai di dalam pelampung masing-masing sambil menikmati simulasi ombak tersebut.

Silap-silap boleh terlena dek keasyikkan pukulan ombak ditambah dengan deruan angin yang menyapa.
Diingatkan, semakin jauh pelampung anda bergerak, semakin dalam air di kawasan tersebut. Di pinggir kawasan kolam ini turut dibenarkan untuk bermain bola tampar pantai.
Glacier River – Journey of Ice

Sama seperti di Coco Beach yang menawarkan tarikan santai, di Glacier River anda akan menikmati perjalanan yang cukup santai di dalam pelampung.

Menariknya tentang tarikan ini kerana ia turut mempunyai pukulan ombak yang berbeza di beberapa kawasannya. Dan setiap kali ombak akan menghempas anda, siren akan dibunyikan.
Adult Leisure Pool

Jika kanak-kanak mempunyai kolam air di Aqua Play Zone, bagi golongan dewasa anda mempunyai Adult Leisure Pool.
Namun ia tidaklah dihiasi dengan karakter kartun atau gelongsor air. Di sini merupakan sebuah kolam biasa untuk anda mandi-manda atau berenang.
Crystal, Galaxy & Canopy Slide

Satu lagi lokasi gelongsor air yang dapat menguji tahap keberanian anda! Di sini anda akan duduk dalam double tube dan ditolak oleh penjaga kawasan tersebut untuk menuruni gelongsor dengan kelajuan yang tinggi.
Bersiap sedia untuk mendengar jeritan daripada orang ramai yang cukup kuat di lokasi ini.

Bayangkan anda menuruni gelongsor dengan kelajuan tinggi ditambah pula gelongsor tersebut tertutup pasti membuat anda tidak sabar untuk menghabiskan perjalanannya.
Kids Slide

Kids Slide menawarkan beberapa
buah gelongsor air untuk dinikmati oleh kanak-kanak. Walaupun ia tidaklah mencabar seperti gelongsor air dewasa, tetapi tarikan ini sudah cukup membuatkan anak-anak anda teruja sepanjang berada di taman tema air ini.
Kids Splash Pool

Kids Splash Pool juga merupakan sebuah kolam mandi yang direka untuk kanak-kanak.
Di sini turut mempunyai gelongsor air, air pancut, baldi simbahan air dan pelbagai karakter air bagi memeriahkan suasana mandi anak-anak anda!

Untuk bahagian kanak-kanak kebanyakkannya mempunyai life guard yang sering memantau keselamatan mereka.
Menarik di Bukit Gambang Water Park
Untuk pengetahuan anda, taman tema ini merupakan yang pertama menggunakan sistem E-value iaitu tidak menggunakan wang ringgit, di mana wang anda disimpan secara virtual di wristband. Jadi jangan cabut atau hilangkan wristband anda ye, nanti susah nak beli makanan!

Untuk menjamu selera anda tidak perlu bimbang kerana terdapat beberapa pilihan gerai.
Antaranya Restoran Pizza Time, Coco Delight, Penguin Express, Coco Station, Coco Beach Kiosk, Island Kiosk dan Family Raft Kiosk.
Jadi jangan lupa masukkan duit di kaunter E-Value Topup secukupnya dalam wristband anda.
Tambahan lagi anda bukan sahaja akan menggunakan duit untuk membeli makanan, namun untuk membuat sewaan pelampung, jaket keselamatan kanak-kanak, bola tampar dan locker persendirian juga!
Jadi tunggu apa lagi? Jom bercuti ke Bukit Gambang Waterpark yang pernah dianugerahkan sebagai Taman Tema Air Besar Terbaik pada tahun 2011 oleh Malaysian Association of Amusement Theme Park & Family Attractions (MAATFA).