Apakah yang menarik di Raja Ampat Indonesia yang kini hangat diperkatakan sebagai salah satu destinasi baru terbaik didunia?
Kepulauan Raja Ampat merupakan rangkaian empat gugusan pulau yang terletak berdekatan. Empat gugus pulau tersebut adalah Pulau Waigeo, Pulau Misool, Pulau Salawati dan Pulau Batanta.
Kepulauan yang digelar sebagai ‘syurga dunia’ ini merupakan antara lokasi tumpuan bagi para penyelam untuk menyaksikan keindahan bawah laut.
Tambahan lagi, ia dikategorikan sebagai salah satu perairan terbaik untuk menyelam di seluruh dunia!
Star Lagoon merupakan sebuah lagun unik yang berbentuk bintang!
Star Lagoon yang terletak di Pulau Pianemo merupakan lokasi wajib untuk mandi-manda dan menyelam ke dasarnya.
Jika bernasib baik anda boleh melihat penyu atau anak ikan hiu yang berenang-renang di sekitar lagun.
Lagun ini bukan sahaja menyajikan air yang jernih malah turut dikelilingi dengan pulau-pulau kecil yang indah.
Bagi menyaksikan lagun berbentuk bintang ini, anda boleh memanjat ke puncak bukitnya.
Misool pula menjadi destinasi yang wajib dikunjungi kerana menyajikan permandangan yang indah serta kawasan menyelam yang tidak kurang mengasyikkan buat para penyelam.
Dikatakan terdapat 75% jenis ikan yang pelbagai, unik serta cantik untuk anda saksikan sepanjang menyelam ke dasarnya.
Menariknya lagi anda boleh berenang bersama spesies manta di kawasan berbatu dan menemui hurita atau paus di kawasan tengah lautnya!
Selain menjadi salah satu destinasi menyelam terbaik, Misool turut menyimpan tinggalan prasejarah yang begitu bernilai.
Di sini terdapat tinggalan berupa cap tangan yang diterapkan pada dinding batu karang. Dikatakan cap-cap tangan tersebut berusia sekitar 50,000 tahun.
Raja Ampat ini turut menyimpan khazanah bernilai seperti mempunyai lebih 540 jenis batu karang jenis karang keras, lebih 1000 jenis ikan karang dan 700 jenis moluska.
Dan dikawasan Pulau Waigeo, Pulau Misool dan Pulau Batanta dikatakan mempunyai penutupan karang hidup sekitar 90%. Pada waktu air pasang surut terendah, anda boleh melihat hamparan terumbu karang dengan jelas!
Bercuti di Raja Ampat pasti membuat anda rasa sayang untuk meninggalkan lautnya yang kaya dengan pelbagai hidupan. Anda bakal asyik menyelam dan berenang sambil ditemani dengan spesies kuda laut katai, ikan pari manta, eviota raja (ikan endemik raja ampat) dan banyak lagi.
Anda boleh ke beberapa destinasi menyelam yang terkenal seperti Manta Point, Cape Kri dan Chicken Reef.
Bagi menikmati keindahan Raja Ampat, anda boleh ke Pianemo yang menyajikan permandangan tompokan beberapa bukit-bukit kecil dan terumbu karang yang berada di tengah laut.
Malah di sini turut disediakan lokasi khusus untuk anda berfoto di kawasan bukit tinggi bagi mendapatkan latar tompokan bukit tersebut.
Untuk ke puncak bukit ini anda perlu mendaki 320 anak tangga kayu yang disediakan. Destinasi berfoto yang seterusnya adalah Wayag yang turut terkenal dengan keindahan panoramanya.
Wayag turut menyediakan beberapa aktiviti menarik seperti menaiki jetski dan speedboat untuk mengelilingi sekitar pulaunya.
Nak tengok batu yang berbentuk seperti pensil? Jom terokai Teluk Kabui yang terletak di antara Pulau Waigeo dan Pulau Gam.
Teluk Kabui turut digelar sebagai pulau karang kerana mempunyai karang unik dalam pelbagai saiz. Antaranya ‘Batu Pensil’ yang merupakan karang menjulang tinggi di tengah-tengah Teluk Kabui.
Lokasi ini sering menjadi tumpuan pengunjung untuk berfoto. Menariknya lagi di Teluk Kabui turut menempatkan beberapa gua yang mempunyai tengkorak manusia!
Pasir Timbul antara tarikan unik yang terdapat di Raja Ampat dan mempunyai waktu tertentu untuk anda menyaksikan keajaibannya.
Lokasi yang dikenali sebagai Pulau Kecil ini muncul apabila berlakunya fenomena air laut surut sekitar jam 6 pagi, 11 pagi dan 3 petang. Ketika fenomena ini berlaku, akan muncul Pulau Kecil yang berkeluasan sekitar 150 hingga 200 meter. Jangan lupa bawa drone untuk merakamkan foto yang unik di Pasir Timbul ini.
Seterusnya Pulau Salawati yang menawarkan lokasi percutian yang cukup menenangkan kerana kawasannya yang agak luas berbanding lokasi yang lain. Pulau ini turut menjadi habitat kepada hutan sagu yang tumbuh dengan begitu subur walaupun tidak djaga.
Di sini turut mempunyai spesies ikan unik yang dikenali ikan pelangi Salawati. Anda pasti kagum melihat kecantikan ikan tersebut yang mempunyai pelbagai warna di badannya seolah-olah diwarnai oleh manusia!
Keistimewaan Raja Ampat bukan sahaja terletak pada tarikan alamnya, malah adat budaya para penduduknya begitu menarik untuk anda ketahui. Desa Sawinggrai merupakan antara lokasi penempatan yang terbaik untuk anda lawati bagi melihat kehidupan harian penduduk pulau ini.
Tarikan utama di desa ini adalah pelbagai jenis burung Cenderawasih yang dimiliki oleh mereka seprti Cenderawasih Belah Rotan, Cenderawasih Merah, Cenderawasih ekor emas besar dan Cenderawasih ekor emas kecil.
Anda bakal terpesona melihat aksi tarian yang dipamerkan oleh burung-burung tersebut!
Benarlah jika rata-rata pengunjung yang pernah berkunjung ke Raja Ampat menggelarnya sebagai syurga dunia, kerana tarikan di sini yang pelbagai dan cukup mengagumkan buat anda terokai.
Air Terjun Batanta yang berketinggian 10 meter ini tidak kurang hebatnya dalam memberikan kepuasan buat anda mandi-manda.
Untuk ke sini, anda perlu meredah kawasan hutan sejauh 1 kilometer di Pulau Batanta. Di sebalik air terjunnya terdapat sebuah gua kecil yang membolehkan anda untuk duduk disitu.
Apa tunggu lagi, jom tempah tiket penerbangan anda untuk ke Raja Ampat yang kaya dengan pelbagai tarikan ini.
Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti melawat burung merak di Pulau Gam, bersantai di pantai yang berpasir putih di Pantai Saleo, menemukan kalimah Allah di Gua Keramat serta melihat burung endemik Papua di Pulau Kofiau.