Siapa yang tidak kenal dengan Gunung Kinabalu? Berdiri megah pada ketinggian 4,095 meter dari aras laut, ia adalah simbol kebanggaan Sabah dan Malaysia. Bagi ramai orang, mendaki Gunung Kinabalu adalah satu impian yang wajib ada dalam senarai “bucket list” sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Tetapi, jangan tersilap langkah. Walaupun Gunung Kinabalu sering dikatakan “mesra pendaki” berbanding gunung-gunung teknikal lain di dunia, ia tetap memerlukan persediaan rapi.
Cuaca yang tidak menentu, nipisnya oksigen, dan trek yang mencabar mental boleh membuatkan pendaki yang paling fit sekalipun “pewai” (istilah pendaki untuk keletihan melampau).
Artikel ini akan membongkar segala rahsia, tips, dan panduan dari A sampai Z khusus untuk pelancong Malaysia, lengkap dengan cara untuk menikmati keindahan Kundasang dan Kota Kinabalu selepas penat mendaki.
- Lihat Pakej Mendaki Gunung Kinabalu
- Lihat Pakej Santai Kundasang Kinabalu
- Lihat Penginapan Terbaik di Kundasang
- Lihat Aktiviti Menarik di Kundasang
- Lihat Peta Percutian Gunung Kinabalu
PinJom kita semak satu persatu panduan mendaki Gunung Kinabalu ini.
Fasa 1: Persediaan Awal (The Boring But Important Stuff)
Sebelum kita bercerita tentang keindahan matahari terbit di Low’s Peak, kita perlu selesaikan urusan logistik. Tanpa ini, impian tinggal angan-angan.
1. Tempahan Slot (Paling Kritikal)
Ini adalah halangan pertama. Slot mendaki Gunung Kinabalu sangat terhad (sekitar 160+ orang sahaja sehari).
-
Tempah Awal: Seeloknya 3 hingga 6 bulan sebelum tarikh kejadian.
-
Sabah Parks vs Agensi: Anda boleh menempah terus melalui sistem tempahan Sabah Parks (lebih murah tetapi renyah dan cepat habis) atau menggunakan khidmat ejen pelancongan berdaftar (lebih mudah sedikit tetapi mereka uruskan segalanya termasuk penginapan dan makan minum).
-
Kos: Untuk warganegara Malaysia, kosnya jauh lebih murah berbanding pelancong asing. Sediakan bajet sekitar RM600 – RM1,200 bergantung kepada pakej (bajet ini termasuk permit, insurans, penginapan di Panalaban, dan makan).
2. Latihan Fizikal: Jangan Pandang Remeh
Ramai yang tewas bukan sebab tak kuat, tapi sebab tak cukup nafas. Trek Kinabalu adalah 90% tangga.
-
Fokus Cardio: Lakukan larian (jogging) sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap sesi. Mulakan 2-3 bulan sebelum mendaki.
-
Simulasi Tangga: Ini rahsia paling ampuh. Cari bangunan tinggi atau bukit yang bertangga. Naik turun tangga berulang kali. Ini akan membiasakan otot paha dan lutut anda dengan gerakan yang akan anda lakukan selama 6-8 jam nanti. Gym yang sediakan stair master pun ok.
-
Hiking Hujung Minggu: Pergilah mendaki bukit-bukit tempatan (Broga, Bukit Gasing, Gunung Angsi, Nuang) untuk membiasakan kaki dengan kasut hiking anda.
3. Persediaan Mental
Akan ada satu titik di kilometer ke-5 di mana anda rasa nak putus asa. Di sinilah mental memainkan peranan. Ingat “Big Why” anda.
Kenapa anda nak naik? Untuk atasi ketakutan? Untuk kesihatan? Atau sekadar nak gambar profile picture yang cantik? Pegang sebab itu kuat-kuat.
Fasa 2: Kelengkapan & ‘Gear’ (Packing Checklist)
Mendaki Kinabalu bukan “fashion show”, tapi memakai pakaian yang salah boleh mengundang hipotermia. Suhu di puncak boleh mencecah -2°C hingga 5°C.
Pakaian (Sistem Layering)
-
Base Layer: Pakai baju Dri-Fit atau thermal wear. Jangan pakai kapas (cotton)! Kapas menyerap peluh, menjadi sejuk bila basah, dan berat.
-
Mid Layer: Baju fleece atau sweater nipis untuk penebat haba.
-
Outer Layer: Jaket windbreaker yang kalis air (waterproof) adalah wajib. Angin di puncak sangat kencang.
Kasut: Hiking Boots vs Kampung Adidas
-
Hiking Boots: Memberi sokongan buku lali (ankle support) yang baik dan tapak yang tebal. Pastikan sudah “break-in” (dipakai beberapa kali) supaya kaki tak melecet.
-
Kampung Adidas (Kasut Getah): Legend! Murah (sekitar RM10), ringan, dan cengkamannya pada batu granit Kinabalu sangat luar biasa. Tapi ingat, ia tiada sokongan buku lali dan tapaknya nipis (sakit bila pijak batu tajam). Pilihan di tangan anda.
Barang Wajib Lain
-
Headlamp (Lampu Suluh Kepala): Wajib untuk pendakian ke puncak pada jam 2 pagi. Bawa bateri tambahan.
-
Sarung Tangan (Gloves): Wajib. Ada bahagian bertali di puncak yang memerlukan anda memegang tali putih yang kasar. Pilih yang kalis air jika boleh.
-
Beanie/Snowcap: Untuk elak sakit kepala akibat sejuk.
-
Tongkat (Hiking Pole): Sangat membantu mengurangkan beban pada lutut terutamanya masa turun.
-
Ubat-ubatan: Panadol, minyak angin, plaster, dan ubat Altitude Sickness (bincang dengan doktor).
-
Makanan Tenaga: Coklat bar, energy gel, kurma, atau kacang.
Fasa 3: Pengangkutan (Logistik)
Penerbangan
Terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI). Seeloknya tiba sehari sebelum hari mendaki untuk rehat yang cukup.
KK ke Kundasang/Kinabalu Park
Perjalanan dari KK ke Kinabalu Park mengambil masa kira-kira 2 jam. Jalan agak berliku kerana mendaki banjaran Crocker.
-
Van Sewa/Bas Mini: Boleh didapati di terminal bas di Bandaraya KK (Padang Merdeka). Murah tapi perlu tunggu penuh.
-
Sewa Kereta: Pilihan terbaik untuk bebas bergerak. Pastikan anda sewa kereta yang mempunyai enjin berkuasa (1.3cc manual atau 1.5cc auto ke atas) kerana jalan di Kundasang agak curam.
-
Pakej Transport: Biasanya ejen pendakian sudah sediakan pengangkutan pergi balik. Ini paling mudah.
Fasa 4: Hari Kejadian (Tentatif Pendakian)
Ini adalah gambaran kasar apa yang akan berlaku. Trek yang paling popular dan utama sekarang adalah Laluan Timpohon.
Hari Pertama: Permulaan Segalanya
-
07:00 AM: Pendaftaran di Kinabalu Park HQ. Anda akan dapat tag nama (ID Tag). JANGAN HILANGKAN TAG INI. Ia adalah nyawa anda untuk melepasi setiap checkpoint dan sijil.
-
08:30 AM: Bergerak ke Timpohon Gate. Taklimat ringkas dari Malim Gunung (Guide). Hormati mereka, mereka adalah pakar di sini.
-
09:00 AM: Mula mendaki!
-
KM 0 – KM 4: Trek hutan hujan tropika. Tangga demi tangga. Anda akan lalu pondok-pondok rehat (Pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening). Rehat sekejap, minum air, jangan lama sangat nanti badan sejuk.
-
KM 4 – KM 5: Trek mula berubah menjadi hutan bantut (sub-alpine). Udara makin nipis. Di sini mental mula diuji. Layang-Layang adalah tempat rehat makan tengah hari (bekal).
-
KM 5 – KM 6: Pemandangan mula terbuka. Anda boleh nampak batuan granit. Sampai di Panalaban (Laban Rata) sekitar jam 3:00 PM atau 4:00 PM.
-
-
Petang: Daftar masuk asrama (Laban Rata/Pendant Hut/Lemaing). Makan malam buffet (biasanya sedap!).
-
Malam: Tidur awal! Jam 8:00 malam lampu biasanya dah tutup.
Hari Kedua: Misi Puncak & Turun
-
01:30 AM: Bangun tidur. Bersiap. Makan “Supper” ringan.
-
02:30 AM: Mula pendakian ke puncak (Summit Attack). Gelap gelita, hanya bertemankan cahaya headlamp dan bintang.
-
Checkpoint Sayat-Sayat: Anda mesti sampai di sini sebelum jam 5:30 AM. Jika lewat, renjer tidak akan benarkan anda teruskan ke puncak atas faktor keselamatan.
-
Tali Putih: Selepas Sayat-Sayat, anda akan berjalan atas permukaan batu granit yang curam dengan bantuan tali. Jangan gopoh.
-
06:00 AM: Tiba di Low’s Peak (4,095m). Saksikan matahari terbit di atas awan. Pemandangan yang akan buat anda lupa segala sakit kaki. Ambil gambar sepuasnya!
-
07:00 AM: Mula turun. Jangan leka. Kemalangan sering berlaku waktu turun sebab kaki dah lemah.
-
09:00 AM: Sarapan kedua di Panalaban. Kemas beg (Check-out).
-
10:30 AM: Mula turun ke Timpohon Gate. Perjalanan turun biasanya menyakitkan lutut dan jari kaki.
-
04:00 PM: Tiba di Timpohon Gate. Tahniah! Ambil sijil kebanggaan anda.
Tips Keselamatan & Kesihatan (AMS)
Perkara paling digeruni pendaki adalah Acute Mountain Sickness (AMS) atau mabuk gunung. Gejalanya: pening kepala melampau, loya, muntah, dan sesak nafas.
Cara Elak AMS:
-
Hydrate: Minum air secukupnya tapi jangan kembung perut. Hirup sedikit demi sedikit.
-
Osum-Osum (Slowly-Slowly): Ini mantera orang Sabah. Jangan lari. Jalan perlahan, ikut ritma nafas. Biar lambat asal sampai.
-
Jangan Tidur Waktu Rehat: Di pondok perhentian, jangan tidur. Ia akan ganggu penyesuaian badan dengan altitud.
-
Ubat: Boleh bawa painkiller atau ubat AMS (Acetazolamide) sebagai langkah berjaga-jaga (rujuk ahli farmasi).
Fasa 5: Cadangan Tentatif Percutian 4 Hari 3 Malam (Mendaki + Healing)
Mengapa hanya mendaki kalau boleh melancong sekali? Berikut adalah cadangan itinerari yang seimbang.
Hari 1: Ketibaan & Aklimatisasi di Kundasang
-
Pagi: Tiba di LTA Kota Kinabalu (BKI). Sewa kereta dan terus memandu ke Kundasang (2 jam). Singgah di Jambatan Tamparuli untuk gambar kenangan.
-
Tengah Hari: Makan di Pekan Nabalu. Cuba nanas tempatan yang manis.
-
Petang:
-
Desa Dairy Farm: Rasa macam di New Zealand! Minum susu segar, makan aiskrim gelato, dan bergambar dengan lembu berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu (kalau tak berkabus).
-
Sosodikon Hill: Pendakian santai 10 minit untuk panaskan badan. View 360 darjah Kundasang yang cantik.
-
-
Malam: Makan malam di pekan Kundasang. Wajib cuba Sayap Ayam Madu Wak Ali atau kedai-kedai sekitar bulatan kobis. Tidur awal di homestay sekitar Kundasang (suhu sejuk, tak perlu aircond!).
Hari 2: Misi Mendaki Bermula
-
Pagi: Bergerak ke Kinabalu Park HQ. Mulakan pendakian (seperti dalam Fasa 4).
-
Malam: Bermalam di Panalaban.
Hari 3: Puncak & Turun ke KK
-
Pagi: Summit Attack & Turun.
-
Petang: Selesai mendaki. Kaki pasti menggigil (“jelly legs”). Pandu pulang ke Kota Kinabalu.
-
Malam:
-
Check-in hotel di KK.
-
Makan Malam Seafood: Pergi ke Todak Waterfront atau Welcome Seafood. Makan besar sebagai reward diri. Udang, ketam, sotong celup tepung, dan sayur Sabah (Paku Pakis/Sabah Veggie) masak belacan.
-
Hari 4: Santai & Pulang

-
Pagi: Badan pasti sakit-sakit. Jangan buat aktiviti berat.
-
Pasar Filipina (Filipino Market): Cari cenderahati. Mutiara, keropok amplang, kuih cincin, dan ikan bilis mata biru.
-
Urut Kaki: Cari pusat refleksologi di sekitar KK. Ini sangat membantu memulihkan otot kaki.
-
-
Tengah Hari: Makan tengah hari (cuba Soto Tuaran atau Laksa Sarawak di Kedai Kopi di Gaya Street).
-
Petang: Bergerak ke lapangan terbang dan pulang dengan seribu kenangan manis.
Tips Bonus & Unik (Pro-Tips)

-
Malim Gunung adalah Wira: Binalah hubungan baik dengan malim gunung anda. Mereka ada banyak cerita menarik, boleh tolong ambilkan gambar yang angle power, dan yang paling penting, mereka akan tolong anda bila anda dalam kesusahan. Kalau mampu, berilah tips (duit saguhati) kepada mereka selepas tamat pendakian.
-
Servis Porter: Jika anda rasa beg anda berat, jangan malu untuk upah porter. Kadar semasa biasanya RM13-RM15 per kilogram (sehala). Ia membantu ekonomi tempatan dan menyelamatkan belakang anda dari cedera.
-
Tandas di Gunung: Tandas ada di setiap pondok perhentian. Tapi ingat, bawa tisu basah dan tisu kering sendiri. Air di gunung sangat sejuk!
-
Via Ferrata: Jika anda seorang adrenaline junkie, pertimbangkan untuk mengambil pakej Mountain Torq Via Ferrata. Ia adalah laluan Via Ferrata (laluan besi) tertinggi di dunia. Anda akan turun dari puncak menggunakan tali besi di tebing gunung. Pengalaman yang sangat rare!
-
Gambar Duit RM100: Jangan lupa bawa sekeping not RM100. Pemandangan di belakang not RM100 itu adalah Puncak Selatan (South Peak) yang akan anda lihat semasa turun dari Low’s Peak. Ambil gambar duit itu berlatarbelakangkan puncaknya yang sebenar!
BONUS: SENARAI SEMAK BARANG (PACKING LIST)
Kita bahagikan kepada 3 kategori supaya beg anda tersusun.
1. Apa Yang Anda Pakai (Semasa Mula Mendaki di Timpohon)
Jangan pakai semua lapisan baju tebal dari bawah. Bawah panas, atas sejuk.
-
Baju: Baju sukan Dri-fit (Lengan pendek atau panjang). Elakkan kapas/cotton sebab lambat kering kalau berpeluh.
-
Seluar: Seluar hiking (trekking pants) atau tights sukan. Jangan pakai seluar jeans! Berat dan melecet.
-
Kasut: Hiking boots atau ‘Adidas Kampung’. Pastikan stoking tebal (stoking bulu/wool atau stoking hiking khusus) untuk elak lepuh.
-
Tongkat (Hiking Pole): Sangat membantu menolak badan naik.
2. Dalam Beg Galas Hari (Daypack – 15L hingga 25L)
Beg ini anda pikul sendiri sepanjang masa. Berat ideal: Jangan lebih 5kg – 6kg.
-
Air Minum: 1.5 Liter (Botol mineral besar) atau Water Bladder. Jangan bawa terlalu banyak, air berat. Di Panalaban boleh refill air masak (percuma/bayar) atau beli baru (mahal).
-
Makanan Tenaga (Trail Food): Coklat (Snickers/Cloud 9), kismis, kurma, atau Energy Gel. Makan sedikit-sedikit setiap jam.
-
Ubat Peribadi: Panadol (penting!), minyak angin/gel otot, plaster luka, dan ubat gastrik jika perlu.
-
Baju Hujan (Raincoat): Wajib! Beli baju hujan plastik kedai RM2 pon boleh, asalkan ringan. Hujan di gunung tak main-main.
-
Headlamp (Lampu Kepala): Wajib untuk pendakian awal pagi ke puncak. Bawa bateri ganti.
-
Dokumen: IC (Kad Pengenalan) dan duit tunai kecil.
-
Beg Plastik Sampah: Bawa plastik kecil untuk bawa turun sampah sendiri (kulit coklat dll).
3. Dalam Beg Utama (Untuk Tinggal di Asrama / Bagi Porter)
Beg ini berisi barang untuk tidur dan pendakian ke puncak esoknya. Jika berat, upah Porter.
-
Pakaian Puncak (Summit Attack):
-
Jaket tebal (Windbreaker kalis air adalah terbaik).
-
Baju Fleece atau Thermal wear (Long john).
-
Sarung tangan (Gloves) kalis air (wajib sebab tali basah & sejuk).
-
Beanie / Snowcap (tutup telinga).
-
Stoking tebal kering (ganti stoking yang basah peluh tadi).
-
-
Toiletries: Berus gigi, ubat gigi kecil, sabun kecil (walaupun selalunya tak mandi sebab air sejuk gila).
-
Tuala: Jenis Microfiber (nipis, ringan, cepat kering).
-
Selipar: Untuk pakai dalam asrama. Kaki perlukan rehat dari kasut hiking.
-
Powerbank: Di asrama ada plug, tapi selalunya berebut. Powerbank lebih selamat.
TIPS JIMAT & PINTAR (PRO-TIPS)
-
Kongsi Malim: Pastikan kumpulan anda cukup 5 orang (atau gandaan 5) untuk memaksimumkan penjimatan bayaran Malim Gunung. Kalau pergi berdua sahaja, anda tetap kena bayar satu malim penuh.
-
Beli di Decathlon/Shopee: Tak perlu beli jenama The North Face atau Columbia original yang beribu ringgit. Barang jenama Quechua (Decathlon) atau jenama tempatan sudah cukup memadai untuk Kinabalu.
-
Air 1.5L Sahaja: Jangan bawa air berlebihan dari bawah. Cukup untuk sampai ke Panalaban. Di Panalaban, air panas (kopi/teh) disediakan waktu makan.
-
Training Awal: Jimat duit ubat sakit kaki dan urut kalau anda fit!
Kesimpulan
Mendaki Gunung Kinabalu bukan sekadar menakluk ketinggian, tetapi menakluk diri sendiri. Rasa sakit, lelah, dan sejuk itu hanya sementara, tetapi kenangan melihat matahari terbit dari bumbung Malaysia akan kekal selamanya.
Jangan takut untuk mencuba. Dengan persediaan yang betul, semangat yang kental, dan doa yang tidak putus, anda pasti boleh berdiri di puncak itu. Orang kata, “Gunung Kinabalu tak lari, gunung takkan dikejar,” tapi kalau tak mula merancang sekarang, bila lagi?
Selamat mendaki dan jaga kebersihan alam semulajadi kita. Take nothing but pictures, leave nothing but footprints, kill nothing but time.
Jumpa anda di puncak!

















