Pernah dengar tentang Pulau Tinggi Mersing? Pulau Tinggi kurang dikenali tapi itu yang terbaik untuk pulau yang cantik ini.
Daerah Mersing tidak asing lagi sebagai rumah kepada beberapa pulau yang cantik di Malaysia.
Rata-rata pengunjung pasti tidak mengetahui bahawa daerah ini menpunyai tarikan pulau yang tidak kurang hebatnya jika hendak dibandingkan dengan pulau-pulau terkenal yang terdapat di negeri lain.
Antaranya Pulau Tinggi atau Pulau Topi Jeneral (General’s Hat Island) yang kurang dikomersialkan, namun begitu berbaloi untuk diterokai.
Pulau Tinggi yang berbentuk seperti topi ini terletak berdekatan dengan Pulau Besar, Pulau Rawa dan Pulau Sibu yang lebih terkenal dalam kalangan pelancong.
Untuk tiba ke Pulau Tinggi, anda hanya perlu menaiki bot selama 45 minit sahaja dari Jeti Tanjung Leman atau Jeti Mersing, jadi bagi yang mabuk laut destinasi ini masih sesuai untuk anda lawati.
Walaupun kurang dibangunkan, pulau ini masih menyediakan beberapa pilihan penginapan yang selesa buat anda seperti resort dan chalet yang bertaraf tiga bintang.

Aktiviti dan Tempat Menarik di Pulau Tinggi

Aktiviti snorkeling dan selam skuba semestinya aktiviti air yang wajib anda lakukan untuk menikmati percutian di kawasan pulau.
Tidak ketinggalan bagi Pulau Tinggi yang merupakan salah satu taman marin yang dilindungi ini, semestinya keindahan dasar lautnya bakal mempersonakan anda!
Kejernihan air lautnya bakal menemukan anda dengan spesises hidupan laut yang eksotik seperti kepelbagaian terumbu karang, dugong, kuda laut, ikan garupa dan banyak lagi yang jarang ditemui di pulau lain.

Seterusnya anda boleh menyertai aktiviti island hoping ke pulau-pulau kecil di situ untuk sambung meneroka isi dasar laut tersebut! Anda boleh ke Pulau Mentigi, Pulau Simbang atau Pulau Lima Besar yang turut sesuai untuk anda bawak kanak-kanak mandi-manda.
Sebagai contoh Pulau Mentigi yang mengalami fenomena air pasang surut yang membolehkan anda melihat ke dasar laut tanpa perlu menyelam apabila air mulai surut.

Bagi menyaksikan keindahan Pulau Tinggi daripada aras yang tinggi, anda boleh mendaki ke puncak Gunung Semundu yang berketinggian 600 meter dari paras laut.
Pendakian ke puncak Gunung Semundu boleh dikatakan agak mencabar kerana memerlukan kira-kira 3 jam pendakian untuk tiba ke puncaknya.

Namun begitu, pemandangan yang menanti anda pasti dapat menghilangkan segala penat lelah sepanjang tempoh pendakian tersebut.
Untuk menyertai aktiviti ini, anda dinasihatkan untuk merancang dengan sebaiknya bagi memastikan perjalanan anda lancar.

Jika inginkan aktiviti lasak yang lebih santai anda mungkin boleh memilih untuk jelajah hutan ke Air Terjun Pulau Tinggi.
Bukan sahaja lebih santai malah titik pengakhirannya juga pasti menyeronokkan sebaik sahaja kaki anda menyentuh air sungainya! Untuk tiba ke kawasan air terjun ini, anda hanya perlu meredah kawasan hutan sekitar 45 minit dengan bantuan jurupandu yang terlatih.

Bagi yang bercuti bersama-sama anak kecil, jangan lepaskan peluang untuk membawa mereka melawat Muzium & Pusat Penetasan Telur Penyu.
Mereka pasti berasa teruja untuk melihat koleksi anak-anak penyu yang terdapat di sini. Muzium yang turut berfungsi untuk memulihara dan melindungi habitat ini mengumpulkan telur penyu dengan selamat untuk ditetas sebelum melepaskannya ke laut apabila tiba masanya.

Selain Pusat Penentasan Penyu, anda boleh membawa anak-anak ke Zoo Mini Shaz yang dimajukan oleh pihak Shaz Resort.
Di sini kanak-kanak turut berpeluang untuk menyentuh atau memberi makan beberapa haiwan seperti arnab, burung merak, kuda dan lain-lain.
Selesai di bahagian zoo, bolehlah melawat ke taman botanik dan herba mereka pula. Nak lagi syok, bawa la anak-anak melihat kelawar buah bewarna hitam dan jingga yang terdapat di habitatnya!

Pulau Tinggi yang diselaputi dengan hutan pamah dipterokarpa ini begitu kaya dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan seperti rotan dan kayu balak.
Pulau ini turut mempunyai kawasan hutan bakau yang dijadikan sebagai tarikan pelancongan terutamanya pada waktu malam.

Anda boleh menyaksikan kelip-kelip dengan menaiki sampan di dalam kegelapan malam. Aktiviti ini boleh dikatakan begitu rare kerana tiada di pulau-pulau lain.
Jika anda bersiar-siar di sekitar Resort TAd Marine pada waktu petang, anda boleh menyaksikan fenomena matahari terbenam kerana di kawasan ini merupakan spot terbaik untuk menyaksikan fenomena tersebut.

Malah di Resort Shaz pula menjadi spot terbaik untuk melihat matahari terbit di awal pagi!
Bercuti ke pulau semestinya anda tidak ingin melepaskan peluang untuk menikmati keindahan fenomena tersebut. Jangan lupa ootd untuk dimuatnaik ke sosial media anda!

Waktu malam di pulau pasti lebih meriah dengan adanya aktiviti barbeku dan karaoke bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan anda.
Anda boleh mendapatkan pakej untuk menikmati sajian makan malam BBQ daripada tempat penginapan anda di mana mereka bakal menyediakan kelengkapan buat anda.
Sambil menunggu makanan masak bolehlah berkaraoke atau bermain game bagi memeriahkan suasana percutian pada kali ini.
Waktu Terbaik ke Pulau Tinggi

Bagi anda yang merancang untuk bercuti ke Pulau Tinggi, anda boleh memilih bulan Mac sehingga September kerana keadaan cuaca yang lebih cerah dan ombak dalam keadaan yang terkawal.
Dikatakan bulan Jun dan Julai merupakan bulan terbaik kerana air yang sangat jernih pada bulan tersebut.
Bersambung…