Dah pernah ke Taman Botani Perdana? Apa perkara menarik yang boleh dilakukan di Taman Botani Perdan kuala Lumpur?
Bandaraya Kuala Lumpur yang terkenal dengan hutan konkrit ini turut mempunyai tarikan taman hijau yang sudah wujud sejak tahun 1888 lagi!
Taman Botani Perdana ini terletak di Taman Warisan Tun Abdul Razak atau Tun Abdul Razak Heritage Park Kuala Lumpur dan mudah untuk diakses oleh orang ramai kerana berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Tambahan lagi taman ini begitu terkenal dalam kalangan penduduk sekitar dan pelancong luar.
Dengan keluasan lebih kurang 170 ekar taman ini pasti menyediakan pelbagai tarikan yang menarik untuk anda terokai bersama-sama ahli keluarga mahupun rakan-rakan.
Bawa anak-anak bercuti ke sini pasti menyeronokkan kerana mereka bebas untuk bergerak dan meneroka isi alam dalam suasana yang cukup nyaman dan mendamaikan.

- Lihat Penginapan Terbaik di Sekitar Taman Botani
- Lihat Aktiviti Menarik di Sekitar Taman Botani
- Lihat Peta Percutian di Taman Botani Perdana
Berikut adalah tarikan utama Taman Botani Perdana:
Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan
Taman ini merupakan rumah kepada beberapa spesies tumbuhan seperti koleksi pokok hutan, koleksi zingiberalis & heliconia, koleksi pokok spesies eksotik, koleksi pokok kurang buah dan koleksi pokok nama tempat.
Selain orang ramai, taman ini sering dikunjungi oleh para penyelidik atau pelajar untuk melakukan penyelidikan berkaitan dengan spesies tersebut.
Laman Perdana
Laman Perdana merupakan sebuah kawasan yang luas di tengah-tengah taman ini yang dilengkapi dengan bumbung bercirikan simetri.
Di sini merupakan tempat orang ramai berhenti berehat setelah meneroka separuh isi taman ini sebelum menyambung penerokaan mereka.
Selain itu, ia merupakan lokasi pilihan untuk mengadakan acara di sini.
Pulau Cycad

Keluasan dan tarikan di taman ini tidak dapat disangkal lagi apabila ia turut mempunyai sebuah pulau yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan seperti pokok buluh dan pokok cycad.
Ia turut dilengkapi dengan sebuah jambatan bagi memudahkan anda untuk menyeberangi ke kawasan bertentangannya.
Taman Herba dan Rempah
Koleksi herba dan rempah turut ditanam di sini bagi memberi pendedahan kepada orang ramai tentang khasiat yang terdapat bagi setiap pokok herba.
Jadi anda bolehlah membawa anak-anak untuk belajar tentang tumbuhan herba yang terdapat di sini.
Taman Sunken

Taman Sunken merupakan sebuah kawasan lapang yang ditanam dengan tumbuhan yang bewarna-warni dan dibentuk seperti geometri.
Ia seakan-akan lanskap taman yang terdapat di perkarangan istana. Menariknya lagi di bahagian sisinya turut dilengkapi dengan pergola panjang yang dilitupi dengan tumbuhan berjuntai menjadikannya lebih cantik.
Taman Rusa

Taman Rusa di sini mempunyai keluasan sekitar 2 hektar dan menjadi rumah kepada Rusa Holland.
Walaupun taman ini tidak besar mana, tapi sudah cukup untuk membawa anak-anak kecil untuk mengenali haiwan ini.
Taman Bunga Raya

Bunga raya merupakan bunga kebangsaan bagi Malaysia, oleh itu taman ini turut mewujudkan taman khas bagi pelbagai spesies bunga raya.
Anda boleh melihat bunga raya yang pelbagai warna seperti jingga, putih, merah jambu dan banyak lagi di sekitar taman ini.
Taman Bunga Raya ini turut dilengkapi dengan kolam air terjun setinggi 4 meter dan bangunan kolonial.
Taman Orkid

Tumbuhan orkid turut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan mempunyai peminat.
Bagi yang meminati tumbuhan ini anda boleh melihat lebih kurang 5000 spesies bunga orkid yang ditanam di sini.
Anda pasti rambang mata melihat koleksi orkid yang bermacam warna yang dipamer.
Herbarium
Tidak puas meneroka plebagai spesies tumbuhan yang terdapat di taman ini? Anda boleh mengunjungi ruangan herbarium bagi melihat koleksi tumbuhan yang telah diawet dan diproses menjadi kering.
Kaedah ini turut membantu pasukan penyelidik untuk mendapatkan data tentang beberapa spesies tumbuhan yang sukar ditemui.
Kira-kira 4000 spesimen herbarium yang ditempatkan di sini hasil daripada kutipan di serata taman Malaysia.
Jalan Brownea

Terdapat lokasi pejalan kaki yang dikenali sebagai Brownea Street kerana ia dipenuhi dengan pokok Brownea sepanjang jalannya.
Suasana yang redup bakal membuatkan anda berasa lebih tenang sepanjang bersantai di sini. Lokasi ini turut sesuai untuk aktiviti joging.
Fasiliti di Taman Botani Perdana

Taman botani yang turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pemuliharaan dan kelestarian ini mempunyai pelbagai kemudahan bagi memberi keselesaan buat pengunjungnya.
Antaranya pusat interprestasi, kedai cenderahati, surau, tempat letak kenderaan, tandas, kafe, gazebo, trek joging, panggung serta taman permainan.
Lebih menarik kerana ia mempunyai sebuah taman permainan yang berkonsepkan buluh iaitu Bamboo Playhouse.
Waktu operasi Taman Botani Perdana
Taman awam yang tidak mengenakan sebarang bayaran masuk ini beroperasi setiap hari seawal jam 7 pagi hingga 8 malam.
Cara untuk ke Taman Botani Perdana
Berlamat di: Jalan Kebun Bunga, Tasik Perdana, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Oleh kerana ia terletak di tengah-tengah kawasan bandaraya Kuala Lumpur, terdapat beberapa pilihan perkhidmatan awam yang boleh anda gunakan untuk ke sini bagi mengelakkan anda terjerat dalam kesesakkan lalu lintas. Antaranya bas RapidKL, keretapi, MRT dan LRT.
Tarikan berdekatan dengan Taman Botani Perdana

Selepas mengunjungi Taman Botani Perdana ini anda juga boleh bersiar-siar ke lokasi pelancongan yang terletak di sekitarnya seperti Tugu Negara, Masjid Negara, Taman Rama-Rama, Muzium Kesenian Islam, Planetarium Negara, Memorial Tun Abdul Razak dan Taman Burung Kuala Lumpur.

Dah habis bersiar-siar di Taman Botani Perdana bolehlah singgah ke destinasi tersebut pula!