Apkah tempat menarik di Besut yang berbaloi dikunjungi? Besut adalah sebuah daerah yang terletak di negeri Terengganu bersempadan dengan Pahang dan Kelantan.
Ia terkenal dengan Jeti Kuala Besut , pintu gerbang ke Pulau Perhentian, yang merupakan salah satu destinasi pelancongan popular di Malaysia dengan pantai-pantainya yang indah dan aktiviti seperti snorkeling, scuba diving, dan jungle trekking.
Di Kuala Besut, anda juga boleh menikmati Pantai Air Tawar, sebuah pantai yang tenang dengan pasir putih yang halus, ideal untuk bersantai dan menikmati keindahan laut.
Daerah ini juga dekat dengan beberapa lokasi menarik lain di Malaysia seperti Kota Bharu, ibu negeri Kelantan, yang menawarkan pengalaman budaya yang unik dengan makanan yang lazat, seni bina tradisional, dan identiti budaya yang menarik.
Jika anda seorang peminat alam semula jadi, Taman Negara Pahang yang merupakan salah satu hutan hujan tertua di dunia, menawarkan pelbagai aktiviti luar seperti berjalan di atas jambatan kanopi terpanjang di dunia, berkunjung ke kampung orang asli, mendaki gunung, dan banyak lagi.
Secara keseluruhannya, Besut merupakan titik tengah kepada destinasi-destinasi percutian yang sangat menarik.
Namun begitu, jika anda sampai ke sini, jangan lupa singgah ke tempat menarik di Besut yang popular ini.
Masjid Lapan Kubah

Masjid Lapan Kubah yang terletak di Kampung Lapan Kotak ini turut digelar Masjid Russia dek kerana senibinanya yang seakan St Basil Cathedral di Moscow.
Keunikan senibina masjid ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat malah pengunjung dari luar negeri turut berpusu-pusu ke sini.

Masjid berwarna merah dengan kubah pelbagai warna ini kelihatan lebih menyerlah dengan pemandangan sawah padi berhampirannya.
Anda juga boleh melawat Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh yang lebih dikenali Masjid Kayu.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 5:00am – 10:00pm | 1315, Jalan Masjid, Kg, Jalan Lapan Kotak, 22000 Jerteh, Terengganu
La Hot Spring

Kolam Air Panas La terletak kira-kira 28 km dari bandar Jerteh dan beroperasi sejak tahun 1992 lagi.
Di sini anda dapat menikmati air panas dan air sejuk semulajadi di kawasan hutan yang begitu terjaga.

Pengunjung yang ke sini pasti tidak akan melepaskan berpeluang untuk berendam di kawasan kolam air panas dengan suhu 49 darjah.
Lokasi ini menarik minat orang ramai kerana air panas semulajadi dipercayai selamat untuk mengubati penyakit kulit dan dapat memberi kesegaran.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Sungai Peng. 22010 Jerteh, Terengganu
Lata Kolam Air Deru Ecopark

Lata Kolam Air Deru Ecopark yang terletak sekitar 3 km dari Kolam Air Panas La ini turut menjadi tumpuan pelancong daripada pelbagai negeri.
Menurut pihak pengurusan, kawasan rekreasi ini menerima sekitar 150 ribu pengunjung semenjak ia dibuka pada tahun 2018.

Kejernihan air sungainya begitu memukau setiap pengunjung. Menariknya lagi di sini turut terdapat penginapan seperti cabin dorm, tube lodge, hammock, glamping dan tapak perkhemahan.
Selain mandi-manda anda boleh melakukan aktiviti water rafting, mountain biking serta memandu ATV.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 5048b, Jalan Air Panas La, Kampung La, 22010 Jerteh, Terengganu
Hutan Lipur Lata Belatan

Daerah Besut begitu kaya dengan tarikan pelancongan berkonsepkan alam semulajadi dek kerana kawasannya yang terletak di pinggir Gunung Tebu.
Hutan Lipur Lata Belatan yang terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu begitu popular sebagai pintu masuk ke kawasan Gunung Tebu.

Kawasan rekreasi ini begitu sesuai untuk anda sekeluarga mandi manda, berkhemah, aktiviti bbq dan jungle trekking.
Antara kemudahan yang disediakan adalah gerai makanan, surau, wakaf, tempat parkir serta tandas.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 9:00am – 5:00pm | No 36, 22020 Jerteh, Terengganu
Pantai Bukit Keluang

Pantai Bukit Keluang yang terletak 19 km dari bandar Jerteh ini merupakan destinasi pelancongan yang cukup terkenal di daerah Besut.
Pantai berpasir putih yang dilengkapi dengan kemudahan awam ini tidak pernah sunyi daripada pengunjung mahupun hari minggu atau hari biasa.

Menjelang waktu petang pantai peranginan ini agak sesak dengan kenderaan pengunjung yang datang untuk meluangkan waktu petang di sini.
Anda juga boleh berkunjung ke Pantai Air Tawar dan Pantai Dendong untuk menikmati pemandangan laut yang menenangkan.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 22200 Kampung Raja, Terengganu
Bukit Keluang

Kini aktiviti hiking menjadi trend tanpa mengira usia tua dan muda. Daerah Besut turut menjadi tumpuan para pendaki kerana terdapat lokasi pendakian yang menawarkan pemandangan laut yang begitu memukau!
Bukit Keluang yang terletak di Pantai Bukit Keluang ini pasti tidak asing lagi sebagai lokasi mendaki yang cukup digemari orang ramai.

Trek laluan yang mengambil masa sekitar 15 minit daripada kaki bukit ke puncak tidaklah begitu curam, namun anda perlulah berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kemalangan.
Selain itu anda boleh ke Bukit Bubus yang menawarkan aktiviti hiking dan paragliding.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 22200 Kampung Raja, Terengganu
Gunung Tebu

Gunung Tebu pula merupakan lokasi pelancongan yang menawarkan aktiviti pendakian yang memerlukan persiapan mental dan fizikal yang secukupnya.
Gunung Tebu yang berketinggian 1039 meter ini kaya dengan kisah mitos dan sejarah di setiap lokasi checkpoint.

Antara lokasi checkpoint yang popular adalah Batu Mat Hassan, Batu Pintu Gerbang, Batu Kapal, Batu Balairong Seni, Telaga Afdal dan Kubur Panjang.
Sepanjang pendakian pasti menenangkan dengan pemandangan flora fauna serta air terjun yang cukup indah.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | HJR6+HV Jerteh, Terengganu
Pasar Kuala Besut

Pasar Kuala Besut hanya beroperasi pada hari Jumaat jam 7 pagi hingga 1 petang dan hari Isnin pada jam 7 malam hingga 11 malam.
Pasar tani ini begitu meriah dengan penjual dan pembeli yang datang daripada pelbagai negeri.

Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai peralatan dapur, barangan hiasan, hasil laut, makanan tradisional, barangan bundle dan haiwan peliharaan seperti anak itik dan ayam.
Menariknya di pasar tani ini anda boleh tawar menawar ketika membeli! Selain itu anda boleh ke Kompleks Perikanan LKIM Besut yang beroperasi setiap hari untuk mendapatkan hasil laut yang segar.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Kampung Seberang Timur, 22200 Besut, Terengganu
Pulau Perhentian
Pulau Perhentian sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara.
Pulau yang turut menjadi kawasan penempatan ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot di Jeti Kuala Besut.
Di sini anda boleh snorkeling, berkhemah, mendaki bukit, jungle trekking, scuba diving, bbq dan bermacam lagi. Tambahan lagi terdapat pelbagai penginapan dengan pilihan harga yang berbeza buat anda.
Kami sediakan artikel khas tentang aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pulau Perhentian.
Desa Ukiran Kayu
Desa Ukiran Kayu yang terletak di Kampung Raja ini beroperasi pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari jumaat serta sabtu.
Lokasi ini dibina sebagai penghargaan buat pengukir kayu yang tersohor di daerah Besut iaitu Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim bin Tengku Wook (Tokoh Kraf Negara 1999), Hj Wan Su Bin Othman (Tokoh Seni Negara 1997) dan ramai lagi.
Tapak lokasi ini turut menyimpan sejarahnya yang tersendiri sebagai bekas kawasan istana Raja Besut pada tahun 1857.
Di sini anda boleh melihat rumah tradisional seperti Rumah Potong Belanda, Rumah Limas Bungkus dan Rumah Bujang Berserambi Selasar.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 8:00am -5:00pm | Jalan Tengku Lela Segara, Kampung Raja, 22200 Besut, Terengganu
Restoran Zul Ikan Bakar

Terletak di Kampung Seberang Kastam, Kuala Besut, restoran ini menawarkan pengalaman kuliner yang tidak dapat dilupakan dengan pelbagai jenis ikan bakar, makanan laut bakar, dan menu lain yang menyelerakan.
Ikan dan makanan laut yang digunakan semuanya segar dan dipilih terus daripada nelayan tempatan.
Menu utama di Zul Ikan Bakar ialah ikan bakar berempah, yang dihidangkan dengan rempah ratus yang kaya, menghasilkan gabungan rasa yang unik dan lazat.

Selain itu, anda juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan laut panggang lain seperti udang, sotong, dan kerang.
Restoran ini juga menyediakan pelbagai minuman segar untuk menemani hidangan anda.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 6:00pm – 12:00am | Zul Ikan Bakar, Kampung Seberang Kastam, 22200 Kampung Raja, Terengganu
Nasi Dagang Hari Minggu Besut

Untuk sarapan pagi, cuba nasi dagang di tempat ini. Kami pastikan anda tidak akan lepaskan peluang menikmati sarapan nasi dagang jika berada di Besut.
Nasi dagang adalah hidangan tradisional yang terdiri daripada nasi yang dimasak dengan santan dan disajikan dengan ikan masin, sambal, dan telur rebus.
Rasanya pasti memuaskan. Selain itu, jika anda suka nasi berlauk, Kedai Makan Pagi Tok Wan Besut adalah pilihan yang baik.
Nikmati hidangan nasi berlauk dengan pelbagai lauk-pauk yang lazat.
- Lihat Peta | 7:00am – 12:00pm | 84, Kampung Kuala Besut, 22200 Besut, Terengganu
Bersambung…






