Ada tempat menarik di Segamat yang berbaloi dikunjungi? Apa aktiviti menarik yang boleh dilakukan?
Segamat adalah sebuah daerah yang terletak di utara Johor Malaysia.
Legenda tempatan mengatakan ia mendapat namanya daripada Bendahara Tepok, Bendahara Kesultanan Melaka yang menyifatkan air dari Sungai Segamat sebagai segar yang amat apabila beliau mengambil minuman yang menyegarkan di sini.
Sesungguhnya keindahan dan kemegahan Segamat menjadikan daerah ini berbaloi untuk diterokai. Keajaiban alam semula jadi yang boleh anda temui di sekitar Segatam termasuk hutan rekreasi, lata, dan pelbagai lagi.
Selain itu, terdapat banyak lokasi hebat lain untuk dilihat di daerah ini juga!
Dataran Segamat

Tarikan yang dibina pada tahun 1996 ini pada awalnya dikenali sebagai Padang Besar Segamat dan telah ditukar nama kepada Dataran Segamat.
Ia merupakan lokasi yang penting, di mana pernah menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada tahun 2005.

Bukan sahaja meriah pada sambutan majlis keramaian malah pada hari biasa ia turut meriah bermula waktu petang ke malam bagi aktiviti santai.
Berhampiran dengan mercu tanda Segamat ini turut terdapat tarikan lain seperti Menara Jam, Menara Bendera dan Replika Durian yang menjadi lokasi wajib setiap pengunjung untuk merakamkan kenangan mereka apabila berkunjung ke daerah Segamat.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Jalan Omar, Kampung Gubah, 85000 Segamat, Johor
Taman Bunga Batu Hampar

Selain daripada Dataran Segamat, anda juga boleh bersiar-siar dan bersantai di Taman Bunga Batu Hampar (Rock Garden) yang terletak di tengah-tengah bandar Segamat ini.
Bagi yang mempunyai anak kecil, di sini turut mempunyai taman permainan untuk mereka bersuka-ria.
Tambahan lagi lokasi ini sering menjadi pilihan penduduk bandar Segamat untuk berekreasi pada hujung minggu.

Berhampiran dengan taman ini turut menempatkan kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat dan Istana Hinggap khas bagi kerabat diraja.
Untuk pengetahuan anda, Istana Hinggap Khas merupakan lokasi persinggahan bagi kerabat diraja apabila berkunjung ke sesuatu destinasi.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Jalan Buloh Kasap, Kampung Gubah, 85000 Segamat, Johor
Air Terjun Jeram Tinggi

Johor merupakan antara negeri yang tidak kurang hebatnya dalam menyediakan tarikan pelancongan yang berteraskan alam semulajadi.
Terletak di Ulu Jementah, Air Terjun Jeram Tinggi merupakan sebuah kawasan rekreasi untuk anda membasahi badan dengan kesejukan dan kejernihan air terjun yang mengalir dari Taman Negara Johor Gunung Ledang.
Menariknya lagi kerana lokasi ini turut menjadi checkpoint bagi aktiviti pendakian ke Gunung Ledang.

Anda boleh memilih untuk mandi-manda di kawasan berdekatan dengan tempat letak kenderaan atau meredah kawasan hutan sekitar 40 minit untuk tiba ke kawasan air terjun yang begitu indah!
Anda hanya perlu melalui kawasan perjalan kaki yang telah disediakan untuk ke kawasan air terjun tersebut.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | CM62+9R Gunung Ledang Recreational Forest, Tangkak, Johor
Makam Bendahara Tepok

Lokasi ini pula menyimpan seribu satu rahsia yang berkait dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka. Makam Bendahara Tepok ini merupakan destinasi Bendahara terakhir Kesultanan Melayu Melaka disemadikan yang terletak kira-kira 2 kilometer dari bandar Segamat.
Menyingkap kembali sejarah lampau, kisah Bendahara Tepok atau turut dikenali Bendahara Lubok Batu sering menjadi bualan masyarakat setempat ekoran daripada insiden penemuan meriam keramat di tapak Masjid Makam Lubok Batu.
Dikatakan meriam keramat tersebut adalah milik Bendahara Tepok dan masjid tersebut asalnya merupakan pondok singgah yang dibina oleh pengikut-pengikut beliau.
Selepas penemuan meriam keramat yang pertama pada tahun 1930, dikatakan turut ditemui dua buah lagi meriam keramat pada tahun yang berbeza selepas itu ekoran daripada aktiviti pengubahsuaian surau tersebut.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Kampung Lubuk Batu, Km 1, Jalan Muar, Johor, 85000 Segamat District
Jambatan Putus Buloh Kasap

Jambatan Putus Buloh Kasap yang turut dikenali dengan nama Broken Bridge ini menyimpan sejarah yang begitu berharga berkaitan dengan pertempuran sengit yang pernah berlaku di sini iaitu di antara tentera British dan tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Jambatan yang menggunakan senibina kolonial British ini telah diletupkan oleh tentera British bagi melengahkan kemaraan tentera Jepun ke arah Selatan dalam usahanya untuk menawan Singapura.

Menurut orang lama di kampug ini, beliau mengatakan bahawa jambatan ini kelihatan begitu cantik pada waktu malam kerana ia diterangi dengan menggunakan cahaya daripada lampu minyak tanah.
Ketika tahun 1960 kerajaan mula mengambil langkah untuk membina sebuah jambatan baharu yang terletak berhampiran dengan lokasi ini. Jambatan yang diletupkan ini masih tersisa dan berdiri teguh di atas tapaknya, jadi anda bolehlah melihat kesan tinggalan sejarah ini.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | Jalan Buloh Kasap, Kampung Kuning Patah, 85000 Buloh Kasap, Johor
Taman Rekreasi Sungai Kapeh

Tapak asalnya merupakan sebuah kawasan hutan belukar dan sungai mati, namun ia telah bertukar wajah menjadi kawasan rekreasi yang turut menerima sambutan yang begitu menggalakkan daripada orang ramai.
Taman Rekreasi Sungai Kapeh yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Segamat ini mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2010 yang turut dirasmikan oleh Sultan Johor.
Taman yang berkeluasan sekitar 9.5 hektar ini turut dijadikan sebagai lokasi untuk mengadakan majlis keraian.

Anda boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan seperti trek joging, peralatan senaman, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan tasik yang mempunyai pelbagai spesies ikan air tawar.
Tambahan lagi, anda dibolehkan untuk memancing di kolam tersebut.
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 1, Jalan Utama 2/3, Kampung Abdullah, 85000 Segamat, Johor
Bazaar Karat

Bazaar Karat merupakan pasar jualan yang begitu meriah dan mendapat sambutan dalam kalangan semua peringkat usia sejak dulu sehingga kini.
Tarikan ini akan diadakan berhampiran dengan Dataran Segamat menjadikannya begitu mudah untuk dikunjungi oleh orang ramai serta memberi atmosfera yang baik untuk para peniaga dan pembeli.

Anda perlu merancang perjalanan ke sini kerana Bazar Karat hanya beroperasi pada hari sabtu bermula jam 5 petang hingga 12 malam sahaja.
Anda bakal dihiburkan dengan pertunjukan muzik daripada pemuzik tempatan yang memainkan pelbagai genre muzik. Jangan lupa untuk tawar-menawar apabila anda ingin membeli barangan cenderamata di sini, untung-untung boleh borong dalam kuantiti yang banyak!
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 6:00pm – 12:00am | Jalan Omar, Kampung Gubah, 85000 Segamat, Johor
Restoran Selera Nasi Beringin

Bercerita tentang Nasi Beringin, ia mengimbau kembali sejarah pada zaman pemerintahan Sultan Johor ke-2 pada tahun 1895 hingga 1959 yang telah mengisytiharkan bahawa Nasi Beringin atau Nasi Beringin Harum ini agar menjadi hidangan utama kepada tetamu baginda.
Kini keenakkan hidangan yang boleh dimakan bersama acar ikan, ayam masak merah, ayam masak kari, rendang kambin, acar timun dan bergedel ini boleh dinikmati oleh semua masyarakat.

Restoran Selera Nasi Beringin yang terletak di Taman Utama ini beroperasi seawal jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Jom singgah ke restoran ini untuk menikmati menu istimewa yang hanya boleh didapati di Semenanjung Selatan ini!
- Lihat Penginapan | Lihat Peta | 8:30am – 4:30pm | 22 & 24, Jln Utama 2/7, Taman Utama, 85000 Segamat District, Johor
Bersambung…