Apa aktiviti dan tempat menarik di Bukit Jelutong Eco Community Park tawarkan?
Shah Alam yang digelar sebagai Bandaraya Anggerik ini kaya dengan kawasan hijau yang masih terpelihara dan mempunyai banyak tarikan yang berkonsepkan alam semulajadi seperti taman rimba.
Bukit Jelutong Eco Community Park merupakan salah satu taman awam yang dibangunkan bagi mewujudkan kawasan hijau di samping memberi manfaat kepada orang ramai.
Taman yang pada asalnya dibina bagi masyarakat setempat kini turut mendapat sambutan dalam kalangan pelancong yang datanag ke daerah ini.
Lokasinya yang turut berdekatan dengan Subang Jaya ini menjadi salah satu faktor taman ini sering menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah.
Untuk masuk ke sini semestinya tiada bayaran yang dikenakan, jadi anda boleh berkunjung seawal jam 7 pagi hingga 7 petang ke sini untuk menikmati gabungan suasana alam semulajadi dan kampung!
- Lihat Penginapan Terbaik di Shah Alam
- Lihat Aktiviti Menarik di Shah Alam
- Peta Percutian Bukit Jelutong Eco Community
Berikut adalah aktiviti menarik di Bukit Jelutong Eco Community:
Mendaki Puncak Bukit Jelutong Eco Community Park
Taman awam ini menyediakan trail atau laluan khas untuk pengunjung melakukan aktiviti mendaki.
Jangan bimbang kerana trail yang disediakan adalah ditahap beginner jadi sesuai untuk anda yang ingin berjinak-jinak atau mencuba aktiviti mendaki.
Tambahan lagi ia turut sesuai untuk peringkat umur kanak-kanak, jadi para ibu bapa inilah lokasi yang sesuai untuk melatih anak-anak anda supaya aktif melakukan aktiviti lasak!
Sekitar 10 minit pendakian anda sudah tiba ke puncaknya. Setibanya di puncak dapatlah anda berehat atau bergambar pula memandangkan pemandangannya yang cukup indah.
Berkelah Di Bukit Jelutong
Berkunjung ke taman awam tidak sah kalau anda tidak berkelah bersama-sama ahli keluarga dan rakan-rakan.
Aktiviti yang cukup santai namun memberikan rasa dan pengalaman yang begitu bernilai!
Kawasan taman ini yang menyediakan beberapa lokasi rehat seperti anjung, gazebo, kawasan lapang, tepi tasik dan atas bukit untuk pengunjung duduk berkelah.
Jadi bolehlah merancang menu atau membeli makanan untuk anda menikmati aktiviti berkelah di sini.
Jangan lupa bawa tikar ye. Hampar tikar di bawah pohon-pohon yang berdaun rimbun yang menghadap tasik pasti mengasyikkan!
Bermesra Dengan Haiwan Ternakan
Taman Eko Bukit Jelutong ini bukanlah seperti taman awam yang biasa-biasa anda lawati ye. Di sini turut mempunyai sebuah taman haiwan yang menempatkan beberapa spesies haiwan ternakan tau.
Sebagai contoh anda boleh melihat ayam, itik yang bebas berenang di dalam tasik, angsa, burung merak, arnab, rumah lebah kelulut dan kambing daripada pelbagai umur.
Namun begitu ia tidak beroperasi sepanjang hari seperti jam 8.30 pagi hingga 3 petang adalah waktu haiwan-haiwan ternakan tersebut diberi makan.
Jadi anda boleh berkunjung seawal pagi atau waktu petang untuk beramah mesra dengan haiwan ternakan di sini yang dibiarkan bebas bergerak.
Memancing di Tasik Bukit Jelutong
Memandangkan di taman awam ini turut mempunyai sebuah tasik yang luas, aktiviti memancing turut dibenarkan kepada pengunjung.
Anda hanya perlu menyediakan peralatan memancing dan umpan untuk memulakan aktiviti memancing di sini.
Sambil bawa anak-anak berkelah dan berseronok di kawasan taman, anda pula bolehlah duduk menikmati aktiviti memancing.
Memandangkan ini merupakan tasik milik taman awam, jadi anda tidak boleh membawa balik hasil tangkapan, dah dapat ikan kena lepaskan semula ke dalam tasik ye.
Berbasikal Mengelilingi Tasik Bukit Jelutong
Bagi yang suka mengayuh, anda bolehlah membawa basikal sekali apabila berkunjung ke taman ini.
Di sini turut disediakan laluan untuk anda berbasikal dan boleh berbasikal hingga ke puncak bukitnya!
Setakat nak mengeluarkan sedikit peluh pasti sudah memadai untuk anda berkayuh turun naik ke puncak bukitnya.
Malah ada yang berbasikal dari jauh dan berhenti melepak di taman ini sebelum menyambung aktiviti kayuhan mereka.
Menikmati Kopi dan Teh
Di tepi tasik Taman Eko Bukit Jelutong ini terdapat sebuah kafe dan beberapa kerusi untuk anda duduk melepak.
Jika anda bernasib baik dapatlah menikmati hidangan daripada kafe tersebut kerana ada waktu ia tidak beroperasi.
Untuk langkah berjaga-jaga anda boleh membawa kopi sendiri untuk dinikmati di sini! Walaupun kafe tersebut tidak beroperasi tetapi pengunjung masih dibenarkan untuk menggunakan ruang kafe tersebut.
Pasti seronok mengopi di tepi tasik sambil melihat kumpulan itik dan angsa yang berkejaran di dalam tasik.
Bersenam dan Jogging
Dah nama pun taman rekreasi, jadi tidak hairanlah jika terdapat beberapa kumpulan orang ramai yang melakukan aktiviti senamrobik, tai-chi atau yoga terutamanya pada waktu pagi dan petang.
Anda pun bolehlah join sekali aktiviti bersenam dengan kumpulan tersebut.
Trek jogging turut disediakan bagi memberi keselesaan buat pengunjung berjogging.
Bergambar di Taman Eko Bukit Jelutong
Taman Eko Bukit Jelutong ini bukan sahaja memberikan pemandangan alam semulajadi yang menghijau, malah lanskapnya turut dijaga dengan rapi serta ditanam dengan pelbagai pokok bunga bewarna-warni.
Tambahan lagi latar belakang bukit-bukau dan tasiknya yang luas menjadikan taman ini sebagai salah satu spot bergambar yang menarik.
Bukan sahaja menarik orang awam untuk merakamkan gambar, malah terdapat pasangan mempelai yang memilih lokasi ini untuk memotretkan hari bahagia mereka!
Rata-rata pengunjung yang pernah datang ke Taman Eko Bukit Jelutong ini pasti berpuas hati dengan suasananya yang mendamaikan dan ingin datang lagi ke taman ini.
Bagi kanak-kanak mereka tentu merasa gembira kerana berpeluang untuk mendekati dan memegang haiwan-haiwan ternakan yang begitu jinak! Sebagai taman eko yang percuma pasti sudah cukup berbaloi untuk anda kunjungi di hujung minggu.
Bersambung…